Sunday 13 May 2012

Hadith (5): Taat Kepada Pemerintah


Taat Kepada Pemerintah
حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى أَخْبَرَنَا الْمُغِيرَةُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْحِزَامِىُّ عَنْ أَبِى الزِّنَادِ عَنِ الأَعْرَجِ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « مَنْ أَطَاعَنِى فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ يَعْصِنِى فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ يُطِعِ الأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِى وَمَنْ يَعْصِ الأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِى ».
(HR Muslim, Kitab Imarah, Bab: Wujub Taat al-Umara’ Fi Ghair Maksiat Wa Tahrimuha Fi Maksiat. No hadis 3417)
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW telah berkata: “Sesiapa yang mematuhi perintahku, maka sesungguhnya bererti ianya mematuhi perintah Allah dan sesiapa yang melanggar perintahku, maka sesungguhnya bererti ianya melanggar perintah Allah. Sesiapa yang mematuhi perintah pemimpinnya, maka sesungguhnya ia mematuhi perintahku dan sesiapa yang melanggarnya perintah pemimpinnya, maka sesungguhnya ia melanggar perintahku”.

Keterangan Hadis 

Dalil ini membuahkan satu doktrin atau pendapat bahawa dalam urusan ketaatan sesama makhluk, islam tidak melarang taat setia kepada pemerintah. Malah taat setia adalah dituntut sebagai satu manifestasi ketaatan kepada Allah dan Rasul selagi mana pemerintah tersebut tidak menyuruh kepada perkara-perkara maksiat (Muhammad Uthman, 1982:208).
Dalam konteks ketataatan yang melibatkan pertembungan pandangan atau ijitihad pemerintah dengan mereka yang diperintah, maka doktrin ketataatan dalam politik islam mewajibkan dilaksanakan keputusan pemerintah selagi mana perkara tersebut bukan berbentuk maksiat kepada Allah (al-Nawawi, 1986:537).
Hal ini, disyarahkan oleh imam al-Nawawi berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “dengar dan Taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila diperintahkan perkara maksiat maka tidak perlu taat dan dengar (patuh).
Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:Taat kepada Allah dan Rasul-Nya wajib bagi setiap Muslim, taat kepada penguasa merupakan penguat ketaatan kepada Allah. Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasulnya dengan menjalankan ketaatan kepada penguasanya, pahalanya dijamin oleh Allah. Tetapi kalau taat kepada penguasa dalam hal-hal yang menguntungkan sahaja, bila diberi hal yang memenuhi kepentingannya ia taat dan sebaliknnya jika tidak diberi dia tidak akan taat, orang yang seperti itu pada hari akhirat tidak punya bahagian (pahala). (Majmu’ al-Fatawa. 35/16-17. Ibnu Taimiyah).
Berdasarkan hadis di atas penulis dapat menyimpulkan bahawa seseorang muslim hendaklah mentaati pemerintah selagi mana tidak bertentangan dengan hukum-hukum syarak kerana hukum mentaati pemerintah adalah menjadi satu kewajipan kepada rakyat untuk mentaatinya. 
Oleh itu penulis mengakhiri hadis di atas dengan kata-kata Ibnu Abi Hatim rahimahullah: Ayahku menceritakan kepadaku, Amr bin Ali as-Shairafi telah menceritakan bahawa Abdul Rabbuh bin Bariq al-Hanafi telah menceritakan bahawa Simak bin Al-Walid al-Hanafi berjumpa Ibn Abbas di Madinah lalu berkata kepadanya: Bagaimana cara menghadapi penguasa (pemerintah) yang telah menzalimi kita, mencela dan merampas sedekah kita, bukankah kita harus mencegah mereka? Ibnu Abbas menjawab: Jangan! Biarkanlah mereka wahai Hanafi! Lalu beliau menambah: Wahai Hanafi! Hendaklah bersama al-Jamaah (pemimpin Islam/penguasa), hendaklah kamu jaga persatuan (jamaah) sebab hancurnya umat dahulu kerana perpecahan (berlepas dari pemimpin atau penguasa), apakah kamu tidak mendengar firman Allah Subhanahu wa-Taala: Dan berpeganglah kamu kepada tali (agama/jamaah) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai. (Tafsir Ibnu Abi Hatim 2/455. Tahqiq Dr. Hikmat Basyir Sayuti. (2). Lihat: Ad-Darul Mansur 2/285-286. Darul Fikr)

Pengajaran hadis:
  1. Wajib mentaati segala perintah dan aturan yang telah ditentukan oleh pemerintah selagi mana tidak bertentangan dengan syarak.
  2. Amthal orang yang mentaati pemerintah adalah sama seperti orang yang mengikuti dan mentaati perintah Allah dan Rasulnya.
  3. Wajib tidak mematuhi kepada pemerintah sekiranya mengajak ke arah kemaksiatan.
  4. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang disukai oleh rakyat dan tidak menganayai akyatnya






No comments:

Post a Comment