Saturday 7 April 2012

hadith (4): kemunculan Fitnah

حَدَّثَنَا مَعْمَرٌ عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ سَعِيدٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَتَقَارَبُ الزَّمَانُ وَيَنْقُصُ الْعَمَلُ وَيُلْقَى الشُّحُّ وَتَظْهَرُ الْفِتَنُ وَيَكْثُرُ الْهَرْجُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّمَ هُوَ قَالَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ وَقَالَ شُعَيْبٌ وَيُونُسُ وَاللَّيْثُ وَابْنُ أَخِي الزُّهْرِيِّ عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ حُمَيْدٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ .
((خ: ك الفتن، ب ظهور الفتن / م: ك العلم، ب رفع العلم وقبضه واللفظ له )).

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah, dari Nabi s.a.w, Baginda bersabda: “waktu menjadi singkat, amalan semakin berkurangan, kekikiran semakin dipraktikkan (berleluasa), munculnya fitnah secara terang-terangan dan banyaknya terjadi al-harj”. Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan al-harj itu?” Maka Baginda bersabda: “pembunuhan, pembunuhan”.
Syu’aib, Yunus, Al-Laits dan putra saudara Al-Zuhri berkata, “Daripada Al-Zuhri, daripada Humaid, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi s.a.w.
(Hadis diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dan Muslim)

Syarah ringkas hadis berkaitan dengan fitnah.

Di dalam hadis ini Rasulullah memperkatakan mengenai kemunculan fitnah yang membawa kepada huru-hara dalam masyarakat. Perbuatan memfitnah itu lahir dari dalam hati individu yang penuh dengan sifat negatif dan keji seperti hasad, iri hati dan dendam. Masalah itu bermula daripada hati yang menjadi ‘dasar’ kepada setiap tindak tanduk manusia. Jika dilihat kepada sirah Rasulullah s.a.w serta keluarganya, Ummu al-Mukminin Saidatina Aisyah r.a tidak terlepas dari menghadapi ujian fitnah. Allah s.w.t merakamkan peristiwa ini menerusi firman-Nya dalam surah an-Nuur, ayat 11 :
Maksudnya :Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di Akhirat).

Oleh itu, Fitnah merupakan satu sikap yang boleh merosakkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam. Fitnah juga dikatakan membawa maksud yang sama seperti `suka membawa mulut', mereka-reka serta menambah cerita buruk, malah melaga-lagakan orang sehingga kisah yang pendek menjadi panjang. Ia juga disebut menabur fitnah atau `namimah' iaitu menceritakan  keburukan orang di khalayak ramai dengan tujuan menimbulkan kebencian  dan permusuhan terhadapnya. Sikap seperti itu sangat tercela. Ia satu daripada perbuatan dosa  besar yang akan mendapat ancaman seksa amat berat di hari pembalasan kelak. Kesan daripada perbuatan itu bukan hanya merugikan seorang, malah menyebabkan hilangnya perasaan kasih sayang, hormat dan kepercayaan di kalangan masyarakat, sehingga runtuh segala sendi kebahagiaan  hidup.

Pengajaran Hadis
Di antara pengajaran yang boleh didapati daripada hadis ini antaranya ialah:
  1. Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu.
  2. Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat paling agung diberikan Allah sebagai titik untuk menilai keikhlasan. Di hati lahirnya niat yang menjadi penentu sesuatu amalan diterima sebagai pahala atau sebaliknya.
  3. Perbuatan fitnah adalah sebahagian perbuatan mengadu-domba yang mudah menyebabkan permusuhan dua pihak yang dikaitkan dengan fitnah berkenaan.
  4. Seseorang muslim perlu sentiasa memperbaiki amalan ke arah kebaikan dan mempertingkatkan iman kerana iman manusia yang berkurang jika tidak dijaga dengan sempurna menjadi punca berlakunya gejala fitnah yang dahsyat.
  5. Manusia perlu memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi supaya ilmu tersebut dapat memberi petunjuk dan hidayat kepada manusia dalam menjalani kehidupan yang berteraskan wahyu Allah.

No comments:

Post a Comment