Monday 2 April 2012

hadith (1): Amthal (perumpamaan) orang yang membaca al-Qur’an



 1.0   MATAN HADIS

حَدَّثَنَا هُدْبَةُ بْنُ خَالِدٍ حَدَّثَنَا هَمَّامٌ حَدَّثَنَا قَتَادَةُ حَدَّثَنَا أَنَسٌ عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ.عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالْأُتْرُجَّةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ وَمَثَلُ الَّذِي لَا يَقْرَأُ كَالتَّمْرَةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلَا رِيحَ لَهَا وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الرَّيْحَانَةِ رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي لَا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ طَعْمُهَا مُرٌّ وَلَا رِيحَ لَهَا

2.0    MAKSUD HADIS:

Daripada Abu Musa al-Asya’ari, bahawa Nabi s.a.w.  bersabda "Orang mukmin yang membaca al-Qur’an umpama buah al-utrujjah(sejenis buah limau). Baunya harum dan rasanya enak. Orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an umpama buah kurma, ia tidak mempunyai bau tetapi rasanya sedap dan manis. Orang munafiq yang membaca al-Qur’an umpama buah raihanah(sejenis pokok). Baunya sedap tetapi rasanya pahit. Orang munafiq yang tidak membaca al-Qur’an umpama petola atau labu, ia tidak mempunyai bau dan rasanya pahit" (riwayat al-Bukhari)

3.0       TAKHRIJ HADIS 
1.    رواه البخاري فى الصحيح ٬ كتاب فضائل القرآن ٬ باب فضل القرآن على سائر الكلم ٬ رقم حديث ٥٠٢٠.
2.    رواه مسلم فى الصحيح ٬ كتاب صلاة المسافرين وقصرها ٬ باب فضيلة حافظ القرآن٬ رقم حديث ٠٧٩٧
3.    رواه الترمذي فى السنن ٬ كتاب الأمثال ٬ باب ما جاء فى مثل المؤمن القارئ للقرآن وغير القارئ ٬ رقم  حديث ٢٨٦٥ ٬ هذا حديث حسن صحيح ٬ وقد رواه شعبة عن قتادة أيضا .
4.    رواه ابن ماجه ٬ كتاب فضائل القرآن ٬ باب فضائل من تعلم القرآن وعلمه ٬ رقم حديث ١٧٨ ٬ هذا حديث صحيح.

4.0       MUFRADAT KALIMAH PADA MATAN HADIS

المثل = adalah membawa maksud seperti contoh, bidalan,kiasan,perumpamaan, analog, teladan untuk diagnosis serta klarifikasi tentang sesuatu makna
الأُترُجَةُ = buah yang seakan-akan menyerupai seperti buah limau yang harum baunya serta enak rasanya
الفاجر = golongan yang memperlihatkan perbuatannya kerpada orang ramai dan pada masa yang sama mereka bersembunyi dalam melakukan maksiat seperti golongan munafiq
الحنظلة  = buah dari tumbuh-tumbuhan yang tidak mempunyai bau dan mempunyai rasa yang sangat pahit

5.0       KETERANGAN DAN SYARAH HADIS
Utrujj ialah nama sejenis pokok limau yang banyak ranting berduri; mempunyai daun dan buah. Manakala buahnya seperti limau yang besar dan seperti Burtuqaal (limau manis) bentuknya hampir bujur seperti betik dan bermuncung. Warnanya warna emas indah. Limau ini mempunyai dua ciri keistimewaan iaitu keharuman baunya dan keenakan rasanya.
Dalam hadis ini, terdapat 4 bidalan dan perumpamaan yang boleh dijadikan  renungan kepada orang yang mencari hidayah dan petunjuk Allah s.w.t. bidalan-bidalan tersebut ialah :
  1. Orang mukmin yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan isi kandungannya.
  2. Orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an tetapi beriman dan beramal dengan isi kandungannya.
  3. Orang munafiq yang membaca al-Qur’an tetapi tidak beramal dengan isi kandungannya
  4. Orang munafiq yang tidak membaca al-Qur’an serta tidak beramal dengan isi kandungannya

5.1       Golongan pertama
Nabi Muhammad s.a.w. mengumpamakan golongan yang pertama iaitu orang mukmin yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan isi kandungannya sebagai al-utrijjah, iaitu sejenis buah limau yang mempunyai bau yang wangi dan sedap, di samping rasanya yang enak dan lazat. Keadaan ini menunjukkan bahawa golongan mukmin tersebut adalah terdiri daripada mereka yang telah sampai kepada tahap kesempurnaan dalam keimanan mereka yang luhur dan murni kepada Allah s.w.t sama ada dari sudut zahir mahupun batin.(lihat Min Kunuz al-sunnah, oleh Muhammad Ali al-sabuni, hlm.71)
Menurut al-Mubarakfuri dalam tuhfat al-Ahwazi, golongan Mukmin yang membaca al-Qur’an diumpamakan sebagai al-utrujjah kerana buah ini adalah buah yang terbaik, selain memiliki saiz yang besar, mempunyai rupa yang cantik serta mempunyai rasa yang enak. Kelazatannya boleh dirasai walaupun belum menjamahnya.( lihat tuhfat al-Ahwazi, 8/138-139)
Begitulah cantik dan indahnya mereka yang berdamping dengan al-Qur’an sehingga diibaratkan dengan buah yang enak dan lazat serta mempunyai bau yang amat menyelerakan yang menjadi idaman setiap manusia


Gambar buah utrujjah

5.2       Golongan kedua
Manakala golongan yang kedua pula iaitu orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an tetapi beriman dengan isi kandungannya, Nabi s.a.w. telah mengumpamakan mereka dengan buah kurma, yang mempunyai rasa yang enak tetapi tidak mempunyai bau. Seharusnya diketahui bahawa bau terhadap sesuatu makanan itu adalah pembuka selera kepada makanan tersebut. Seterusnya, hal ini menunjukkan bahawa golongan Mukmin ini adalah terdiri daripada mereka yang suci batinnya kerana penuh dengan keimanan, laksana rasa kurma yang sedap, namun pada zahirnya tidak sedemikian kerana mereka tidak membaca ayat-ayat Allah s.w.t., laksana kurma yang tidak mempunyai bau.(lihat al-sabuni, Min Kunuz al-Sunnah, hlm.71).



Buah kurma
5.3       Golongan ketiga
Berdasarkan hadis tersebut golongan ketiga iaitu golongan munafiq yang membaca al-Qur’an tetapi tidak beramal dengan isi kandungannya adalah seperti yang telah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu diumpamakan sebagai buah raihanah(sejenis pokok). Apabila seseorang itu memakan buah dari pokok raihanah akan merasakan buah tersebut tersangat pahit dan tidak sedap dimakan walaupun baunya harum. Samalah seperti golongan munafiq yang membaca al-Qur’an pada zahirnya menampakkan dirinya sebagai seorang yang takut dan taat kepada perintah Allah tetapi pada hakikatnya mereka hanya berpura-pura mentaati dan mengikuti perintah Allah kerana untuk memperlihatkan kepada orang sekeliling mereka bahawa mereka adalah tergolong dari golongan yang sentiasa beribadat dan mentaati perintah Allah s.w.t.



Buah dari pokok raihanah
5.4       Golongan keempat
Golongan keempat yang diumpamakan Nabi sebagai buah petola yang mempunyai bau yang busuk dan mempunyai rasa yang pahit adalah golongan munafiq yang tidak membaca al-Qur’an dan mereka tidak mengamalkan isi kandungannya, mereka merupakan golongan yang paling bawah sekali martabatnya dalam hadis tersebut lantaran cara hidup mereka yang tidak menzahirkan cara kehidupan Islam serta setiap perbuatan yang mereka lakukan adalah untuk diperhatikan dan menunjuk-menunjuk kepada orang yang berada di sekelilingnya apatah lagi bagi golongan munafiq seperti ini yang langsung tidak menzahirkan dirinya sebagai seorang yang berpegang dengan ajaran-ajaran di dalam al-Qur’an.

Buah petola

6.0       SEBAB-SEBAB PENGGUNAAN TAMTHIL DALAM HADIS 
Rasulullah s.a.w. menggunakan metode alegori dalam penyampaian sesuatu maklumat yang hendak disampaikan untuk memudahkan memahami dan menjelaskan sesuatu fakta agar pendengar akan rasa tertarik terhadap penyampaian tersebut di samping Nabi menggunakan amthal berkaitan unsur alam iaitu buah-buahan kerana ia menjadi makanan manusia dan manusia lebih tahu akan perbezaan rasa dan kelebihan buah-buahan tersebut, jadi penggunaan amthal ini lebih terkesan kepada hati para pendengar.Perumpamaan daripada hadis tersebut dapat membezakan individu-individu yang membaca al-Qur’an dan tidak membacanya yang terdiri daripada golongan orang yang beriman dan orang munafiq.
            Antara sebab lain Nabi Muhammad s.a.w. menggunakan ayat-ayat tamsil dalam penyampaian hadis kepada para sahabat adalah kerana kebanyakan bangsa dan kabilah Arab pada ketika itu gemarkan kepada syair-syair atau ayat-ayat yang mempunyai maksud yang mendalam dan mudah difahami serta penyampaian yang menarik. Oleh sebab itu, ramai golongan penyair yang terkenal pada zaman itu, ingin mendengar dan melihat Nabi Muhammad s.a.w. berpidato atau berkhutbah kerana isi kandungannya yang padat dan kemas di samping mempunyai uslub dan gaya bahasa yang menarik seperti mana ayat-ayat tamsil pada hadis yang diriwayatkan oleh abi musa al-ash’ari di atas.
            Selain itu, penggunaan tamthil di dalam hadis tersebut juga dapat mendorong dan menarik minat seseorang itu menjadi lebih bersungguh-sungguh untuk membaca al-Qur’an dan mengamalkan isi kandungannya, di samping mengelakkan seseorang itu tergolong daripada orang munafiq yang hanya membaca al-Qur’an tetapi tidak mengamalkannya atau yang tidak membaca al-Quran dan tidak mengamalkannya lantaran mereka diumpamakan seperti buah raihanah dan buah petola.

7.0       PENGAJARAN HADIS
Antara pengajaran yang terdapat pada hadis di atas ialah:
  1. Hadis tersebut terdapat galakan daripada nabi supaya orang Islam membaca al-Qur’an dan mengamalkan isi kandungannya.
  1. Daripada hadis tersebut juga dapat kita jadikan kayu ukur untuk menentukan kita tergolong dalam golongan yang mana seperti yang diumpamakan dalam hadis, supaya kita boleh membaiki diri kita sendiri agar menjadi seorang mukmin yang baik.
  1. Ia juga dapat dijadikan panduan kepada seluruh orang Islam supaya kita menjauhkan diri daripada mengamalkan gaya hidup orang munafiq dan tergolong dalam golongan tersebut.
  1. Nabi juga mengingatkan kita supaya ikhlas membaca al-Qur’an dengan cara mengamalkan maknanya dan Nabi juga mengingatkan kita supaya tidak hipokrit ketika membaca al-Qur’an sebagaimana golongan munafiq yang hanya membaca al-Qur’an tetapi tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka.
  1. Dalam hadis tersebut juga dinyatakan golongan yang beruntung iaitu golongan Mukmin kerana mereka diumpamakan sebagai buah utrujjah di mana ramai manusia yang menggemari bau dan rasa buah tersebut, begitulah juga perihalnya dengan orang mukmin yang membaca dan mengamalkan al-Qur’an di mana mereka pasti disayangi dan dikasihi masyarakat. Sebaliknya golongan munafiq yang disebut dalam hadis tersebut merupakan golongan yang rugi kerana mereka diumpamakan sebagai buah petola yang mempunyai bau dan rasa yang pahit, kerana begitulah hidup mereka dalam masyarakat kerana mereka tidak disukai dan tidak disenangi lantaran sikap mereka yang buruk.

8.0       KESIMPULAN 
Penggunaan bidalan dan perumpamaan dalam hadis di atas amat berkesan sekali kepada mereka yang mendengarnya kerana ia dapat memberi gambaran yang amat menarik tentang kedudukan orang-orang Mukmin. Perumpamaan dan kiasan dalam hadis ini telah dapat mempamerkan keimanan secara zahir dan batin yang sememangnya sukar dikenal pasti. Keimanan tersebut telah dijelaskan dengan baik sekali apabila ia telah diumpamakan dengan sesuatu perkara yang sudah jelas dalam kalangan masyarakat Arab iaitu sejenis buah-buahan yang terdiri daripada utrujjah(sejenis liamu) dan kurma.
Melalui metode alegori iaitu bidalan dan kiasan yang terdapat dalam hadis ini, menunjukkan bahawa betapa pentingnya membaca al-Qur’an kerana fadilat dan ganjarannya amat besar sekali. Oleh itu, semua umat Islam hendaklah beristiqamah dan sentiasa dalam membaca, menghayati serta beramal dengan isi kandungan al-Qur’an agar hati-hati mereka sentiasa disinari cahaya taufik dan hidayah daripada Allah s.w.t.    
 
9.0       RUJUKAN

Al-Asqalani. Ibnu Hajar. 2008. Fathul Baari: kelebihan membaca al-quran Jilid 24. Selangor. Pustaka Azzam.
Abu Husin muslim bin al-Hujjaj bin Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi. Sahih Muslim: bab fadhilah hafiz al-Qur’an . Jilid pertama, Juzu’ kedua. Al-Qaherah. Dar al-Hadis
Al Mubarakfuri. 1998. Tuhfat al Ahwazi : Bisharh Jami at-Tirmizi 8/138-139. Al-Qaherah
Abu Tamim Yasir bin Ibrahim. Syarah shahih al-bukhari li ibn battal: kitab fadha’il al-Qur’an. Juzu’ 10. Maktabah al-Rushd. Al-Riyad.
 Abi Isa Muhammad bin Isa. 1999. Sunan al-Tirmidhi. Juzu’ keempat. Dar al-Hadith. Al-Qaherah.
Muhammad 'Ali al-Sabuni . 2000. Min kunuz al-sunnah : dirasat adabiyah wa-lughawiyah min al-hadith li-sharif. Al-Qahirah : Dar al-Sabuni.

1 comment:

  1. subhanallah,,thanks y atas brbagi nya....


    sinarilah hati kita dengan membaca alquran, hanya dengan mmbaca alquranlah yang akan dapat mengobati penyakit2 psikis, spt galau, sedih dsb....

    ReplyDelete