Saturday 7 April 2012

hadith (4): kemunculan Fitnah

حَدَّثَنَا مَعْمَرٌ عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ سَعِيدٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَتَقَارَبُ الزَّمَانُ وَيَنْقُصُ الْعَمَلُ وَيُلْقَى الشُّحُّ وَتَظْهَرُ الْفِتَنُ وَيَكْثُرُ الْهَرْجُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّمَ هُوَ قَالَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ وَقَالَ شُعَيْبٌ وَيُونُسُ وَاللَّيْثُ وَابْنُ أَخِي الزُّهْرِيِّ عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ حُمَيْدٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ .
((خ: ك الفتن، ب ظهور الفتن / م: ك العلم، ب رفع العلم وقبضه واللفظ له )).

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah, dari Nabi s.a.w, Baginda bersabda: “waktu menjadi singkat, amalan semakin berkurangan, kekikiran semakin dipraktikkan (berleluasa), munculnya fitnah secara terang-terangan dan banyaknya terjadi al-harj”. Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan al-harj itu?” Maka Baginda bersabda: “pembunuhan, pembunuhan”.
Syu’aib, Yunus, Al-Laits dan putra saudara Al-Zuhri berkata, “Daripada Al-Zuhri, daripada Humaid, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi s.a.w.
(Hadis diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dan Muslim)

Syarah ringkas hadis berkaitan dengan fitnah.

Di dalam hadis ini Rasulullah memperkatakan mengenai kemunculan fitnah yang membawa kepada huru-hara dalam masyarakat. Perbuatan memfitnah itu lahir dari dalam hati individu yang penuh dengan sifat negatif dan keji seperti hasad, iri hati dan dendam. Masalah itu bermula daripada hati yang menjadi ‘dasar’ kepada setiap tindak tanduk manusia. Jika dilihat kepada sirah Rasulullah s.a.w serta keluarganya, Ummu al-Mukminin Saidatina Aisyah r.a tidak terlepas dari menghadapi ujian fitnah. Allah s.w.t merakamkan peristiwa ini menerusi firman-Nya dalam surah an-Nuur, ayat 11 :
Maksudnya :Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di Akhirat).

Oleh itu, Fitnah merupakan satu sikap yang boleh merosakkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam. Fitnah juga dikatakan membawa maksud yang sama seperti `suka membawa mulut', mereka-reka serta menambah cerita buruk, malah melaga-lagakan orang sehingga kisah yang pendek menjadi panjang. Ia juga disebut menabur fitnah atau `namimah' iaitu menceritakan  keburukan orang di khalayak ramai dengan tujuan menimbulkan kebencian  dan permusuhan terhadapnya. Sikap seperti itu sangat tercela. Ia satu daripada perbuatan dosa  besar yang akan mendapat ancaman seksa amat berat di hari pembalasan kelak. Kesan daripada perbuatan itu bukan hanya merugikan seorang, malah menyebabkan hilangnya perasaan kasih sayang, hormat dan kepercayaan di kalangan masyarakat, sehingga runtuh segala sendi kebahagiaan  hidup.

Pengajaran Hadis
Di antara pengajaran yang boleh didapati daripada hadis ini antaranya ialah:
  1. Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu.
  2. Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat paling agung diberikan Allah sebagai titik untuk menilai keikhlasan. Di hati lahirnya niat yang menjadi penentu sesuatu amalan diterima sebagai pahala atau sebaliknya.
  3. Perbuatan fitnah adalah sebahagian perbuatan mengadu-domba yang mudah menyebabkan permusuhan dua pihak yang dikaitkan dengan fitnah berkenaan.
  4. Seseorang muslim perlu sentiasa memperbaiki amalan ke arah kebaikan dan mempertingkatkan iman kerana iman manusia yang berkurang jika tidak dijaga dengan sempurna menjadi punca berlakunya gejala fitnah yang dahsyat.
  5. Manusia perlu memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi supaya ilmu tersebut dapat memberi petunjuk dan hidayat kepada manusia dalam menjalani kehidupan yang berteraskan wahyu Allah.

Hadith (3): meminta jawatan dan tamak terhadap jawatan


حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَمُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ قَالَا حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ بُرَيْدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ دَخَلْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا وَرَجُلَانِ مِنْ بَنِي عَمِّي فَقَالَ أَحَدُ الرَّجُلَيْنِ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمِّرْنَا عَلَى بَعْضِ مَا وَلَّاكَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَقَالَ الْآخَرُ مِثْلَ ذَلِكَ فَقَالَ إِنَّا وَاللَّهِ لَا نُوَلِّي عَلَى هَذَا الْعَمَلِ أَحَدًا سَأَلَهُ وَلَا أَحَدًا حَرَصَ عَلَيْهِ

Maksudnya : Abu Bakr bin Abi Shaibah dan Muhammad bin al-cAla' telah menceritakan kepada kami, Abu Usamah telah menceritakan kepada kami  daripada Buraid bin Abdullah daripada Abi Burdah daripada Abu Musa dia berkata, “Saya dan dua orang anak sepupuku menemui Nabi SAW lalu berkata salah seorang daripada keduanya, “Wahai Rasulallah, lantiklah kami sebagai pemimpin di mana-mana wilayah yang telah diberikan Allah cAzz wa Jall kepadamu”. Dan seorang lagi mengucapkan perkataan yang sama, maka baginda SAW bersabda: “Demi Allah, sesungguhnya kami tidak akan memberi jawatan kepada orang yang meminta dan yang rakus (tamak) terhadapnya”.[1]

Makna Mufradat (Seerti)
Bil
Kalimah
Makna Seerti
1.
لَا نُوَلِّي
Kami tidak akan menolong 
2.
حَرَصَ عَلَيْهِ
Sangat berkehendak terhadap sesuatu

Sharh al-Hadith
Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith berkaitan dengan permasalahan ini seperti berikut :
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ بُرَيْدٍ عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ دَخَلْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا وَرَجُلَانِ مِنْ قَوْمِي فَقَالَ أَحَدُ الرَّجُلَيْنِ أَمِّرْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَقَالَ الْآخَرُ مِثْلَهُ فَقَالَ إِنَّا لَا نُوَلِّي هَذَا مَنْ سَأَلَهُ وَلَا مَنْ حَرَصَ عَلَيْهِ
Maksudnya : Muhammad bin al-cAla' telah menceritakan kepada kami, Abu Usamah telah menceritakan kepada kami  daripada Buraid daripada Abi Burdah daripada Abu Musa RA dia berkata: "Saya dan dua orang anak sepupuku menemui Nabi SAW lalu berkata salah seorang daripada keduanya, "Wahai Rasulallah, lantiklah kami sebagai pemimpin." Dan seorang lagi mengucapkan perkataan yang sama, maka baginda SAW bersabda: "Demi Allah, sesungguhnya kami tidak akan memberi jawatan kepada orang yang meminta dan yang rakus terhadapnya”.[2]

Hadith ini menerangkan tentang orang-orang yang dikurniakan kebahagiaan dan kegembiraan tidak akan menghiraukan pelbagai kesusahan dan kepayahan hidup. Mereka tidak sedikitpun takut dipandang hina semasa hidup di dunia, namun mereka berfikir bagaimana sekiranya mereka dicela dan dihina di hadapan Allah di akhirat kelak. Inilah perjuangan hidup sebenar yang perlu ditempuhi oleh umat Islam. Inilah semangat yang perlu dipupuk oleh masyarakat sekarang.

              Al-Qadi al-Baidawi berkata, “Tidak sepatutnya bagi orang yang berakal mengambil keseronokan sementara di dunia serta menggantinya dengan hukuman buruk di akhirat yang membawa penyesalan kepadanya”. Al-Muhallab berkata, “Sikap tamak akan jawatan merupakan salah satu punca kepada berlakunya pembunuhan di antara manusia. Bukan itu sahaja, bahkan pertumpahan darah, perebutan harta dan kekayaan serta kebanyakan masalah yang berlaku adalah berpunca daripadanya. Setelah perkara tersebut berlaku, timbul rasa penyesalan di dalam diri manusia kerana terperangkap di dalam satu agenda yang telah dirancang oleh mereka sendiri. Dalam masa yang sama mereka merasakan bahawa segala usaha yang dilakukan sebelum ini tidak berguna lagi”.

             Seseorang yang dilantik kerana kematian pengurus serta tidak ada pengganti lain selain daripada dirinya tidak termasuk di dalam kategori meminta-minta sesuatu jawatan. Hal ini demikian kerana jika seseorang itu tidak terlibat di dalam pekerjaan tersebut, akan terjadi kerugian dan kerosakan yang lebih besar kepada sesuatu organisasi. Perkara ini tidak bertentangan dengan hadith di atas, bahkan menjelaskan lagi tentang keadaan orang yang bercita-cita kepada sesuatu jawatan iaitu seseorang yang melakukan sesuatu pekerjaan kerana bimbang akan kehilangan jawatannya. Sementara orang yang diberi sesuatu jawatan tanpa diminta tidak bimbang dengan kehilangan jawatannya.  

Pengajaran Hadith
1. Seseorang yang mendapat sesuatu jawatan sesuai dengan kelayakannya lebih berhak mendapatkan jawatan tersebut.
2. Seorang pemimpin diwajibkan memilih dan melantik seorang qadi yang berkelayakan untuk menggubal undang-undang sesebuah negara.


[1]Hadith riwayat Imam Muslim, Kitab al-Imarah, Bab Larangan Meminta-minta Jawatan dan Rakus Terhadapnya, Hadith no.3402.  Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, Bab Makruh Meminta-minta Jawatan Pemimpin, Hadith no.6616

[2] Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, Bab Makruh Meminta-minta Jawatan Pemimpin, Hadith no.6616

hadith (2): tegahan dalam meminta-meminta jawatan

Hadis :
حَدَّثَنَا شَيْبَانُ بْنُ فَرُّوخَ حَدَّثَنَا جَرِيرُ بْنُ حَازِمٍ حَدَّثَنَا الْحَسَنُ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ سَمُرَةَ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ أُكِلْتَ إِلَيْهَا وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا

Maksudnya : Shaiban bin Farukh telah menceritakan kepada kami, Jarir bin Hazim telah menceritakan kepada kami, al-Hasan telah menceritakan kepada kami, cAbd al-Rahman bin Samurah telah menceritakan kepada kami, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Wahai cAbd al-Rahman, janganlah kamu meminta jawatan, sebab jika kamu diberi jawatan kerana permintaan maka tanggungjawabnya akan dibebankan kepadamu. Namun jika kamu dilantik tanpa permintaan, maka kamu akan diberi pertolongan.”[1] 

Makna Seerti
Bil
Kalimah
Makna Seerti
1.
الْإِمَارَةَ
Berasal daripada kalimah “الأمير” yang memberi maksud pemimpin
2.
أُكِلْتَ إِلَيْهَا
Dibebankan dengan bebanan tanggungjawab tanpa pertolongan daripada Allah
3.
أُعِنْتَ عَلَيْهَا
Diberi pertolongan oleh Allah


Sharh al-Hadith
      Hadith ini menjelaskan kepada kita tentang larangan Nabi SAW terhadap orang-orang yang meminta-minta sesuatu jawatan serta bermegah-megah dengan jawatan tersebut. Di dalam Islam, seseorang yang meminta-minta jawatan dilihat sebagai seorang yang tidak mempunyai jati diri yang tinggi serta mengharapkan belas ihsan daripada orang lain kecuali mereka yang benar-benar mempunyai pengalaman dan keahlian dalam bidang tersebut. 

            Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari: "Maksud hadith di atas ialah sesiapa yang meminta jawatan pemimpin lalu diberikan kepadanya maka dia tidak diberikan bantuan disebabkan keinginannya...".katanya lagi: "Sesiapa yang tidak mendapat bantuan daripada Allah terhadap pekerjaannya maka dia tidak akan mempunyai kemampuan melaksanakan pekerjaan tersebut. Oleh itu maka tidak sepatutnya diterima pemintaannya (untuk menjadi pemimpin)." 

       Dalam kata lain, sesiapa yang meminta jawatan, maka Allah tidak akan menolongnya jika dia memerintah. Sesiapa yang tidak ditolong Allah tentu dia gagal melaksanakan amanah seperti yang dikehendaki Allah, sama ada yang kecil ataupun yang besar dan dalam apa urusan sekalipun.

Terdapat beberapa perkara yang diperselisihkan oleh ulama’ di dalam hadith ini. Al-Qadi cIyyad berkata, kebanyakan riwayat menyebut lafaz “ أُكِلْتَ ” yang memberi maksud dibebankan tanggungjwab tersebut kepada peminta jawatan. Di dalam riwayat lain disebut dengan lafaz “وُكِلْتَ ” yang bermaksud akan diserahkan segala urusan kepadanya tanpa pertolongan berbeza dengan orang yang diberi jawatan tanpa memintanya.

Imam al-Nawawi ketika menyusun bab-bab di dalam Sahih Muslim, meletakkan hadith yang sama di dalam kitab al-Iman, bab sunat bagi sesiapa yang bersumpah melihat orang lain lebih berkelayakan daripadanya mengutamakan orang tersebut dan terhapuslah sumpahnya. Hadith ini disebut dengan lafaz “وُكِلْتَ ”. Beliau berbeza pendapat dengan al-Qadi di dalam menjelaskan riwayat yang paling banyak disebut. 


Pengajaran Hadith
  1. Umat Islam dilarang meminta-minta sebarang jawatan sama ada jawatan kerajaan, qadi dan sebagainya kecuali dalam keadaan terdesak.
  2. Orang yang meminta jawatan tidak akan mendapat pertolongan daripada Allah serta tidak akan mendapat keberkatan daripada pekerjaan tersebut.
  3. Orang yang meminta-minta jawatan besar biasanya ingin memenuhi kehendak nafsu dan berkemungkinan tidak dapat melaksanakan amanah tersebut dengan baik.


[1] Hadith Riwayat Muslim, Kitab al-Imarah, Bab Larangan Meminta-minta Jawatan dan Tamak Terhadapnya, Hadith no.3401

Monday 2 April 2012

Doa untuk menghilangkan kesedihan dan dukacita

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ

“Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hamba lelakiMu (Adam) dan anak hamba perempuanMu (Hawa). Ubun-ubunku di tanganMu, keputusanMu berlaku padaku, qadhaMu kepadaku adalah adil. Aku mohon kepadaMu dengan setiap nama yang telah Engkau gunakan untuk diriMu, atau Engkau turunkan dalam kitabMu, atau Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu atau yang Engkau khususkan untuk diriMu dalam ilmu ghaib di sisiMu; Engkau jadikanlah Al-Qur’an sebagai penenteram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap kesedihanku dan penghilang tekananku.” HR. Ahmad 1/391.

Menurut pendapat Al-Albani, hadith tersebut adalah sahih .Secara penuh, matan hadith doa ini adalah seperti berikut: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Sesiapa sahaja yang ditimpa tekanan dan kesedihan lalu dia berdoa… (doa di atas ini)…; pasti Allah akan menggantikan tekanan dan kesedihannya dengan kegembiraan.” Lalu ada yang bertanya, ‘Wahai Rasulullah baguskah kami mempelajarinya?’ Jawab Baginda, “Sudah tentu. Sesiapa yang mendengarnya amat wajar mempelajarinya.”

hadith (1): Amthal (perumpamaan) orang yang membaca al-Qur’an



 1.0   MATAN HADIS

حَدَّثَنَا هُدْبَةُ بْنُ خَالِدٍ حَدَّثَنَا هَمَّامٌ حَدَّثَنَا قَتَادَةُ حَدَّثَنَا أَنَسٌ عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ.عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالْأُتْرُجَّةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ وَمَثَلُ الَّذِي لَا يَقْرَأُ كَالتَّمْرَةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلَا رِيحَ لَهَا وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الرَّيْحَانَةِ رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي لَا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ طَعْمُهَا مُرٌّ وَلَا رِيحَ لَهَا

2.0    MAKSUD HADIS:

Daripada Abu Musa al-Asya’ari, bahawa Nabi s.a.w.  bersabda "Orang mukmin yang membaca al-Qur’an umpama buah al-utrujjah(sejenis buah limau). Baunya harum dan rasanya enak. Orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an umpama buah kurma, ia tidak mempunyai bau tetapi rasanya sedap dan manis. Orang munafiq yang membaca al-Qur’an umpama buah raihanah(sejenis pokok). Baunya sedap tetapi rasanya pahit. Orang munafiq yang tidak membaca al-Qur’an umpama petola atau labu, ia tidak mempunyai bau dan rasanya pahit" (riwayat al-Bukhari)

3.0       TAKHRIJ HADIS 
1.    رواه البخاري فى الصحيح ٬ كتاب فضائل القرآن ٬ باب فضل القرآن على سائر الكلم ٬ رقم حديث ٥٠٢٠.
2.    رواه مسلم فى الصحيح ٬ كتاب صلاة المسافرين وقصرها ٬ باب فضيلة حافظ القرآن٬ رقم حديث ٠٧٩٧
3.    رواه الترمذي فى السنن ٬ كتاب الأمثال ٬ باب ما جاء فى مثل المؤمن القارئ للقرآن وغير القارئ ٬ رقم  حديث ٢٨٦٥ ٬ هذا حديث حسن صحيح ٬ وقد رواه شعبة عن قتادة أيضا .
4.    رواه ابن ماجه ٬ كتاب فضائل القرآن ٬ باب فضائل من تعلم القرآن وعلمه ٬ رقم حديث ١٧٨ ٬ هذا حديث صحيح.

4.0       MUFRADAT KALIMAH PADA MATAN HADIS

المثل = adalah membawa maksud seperti contoh, bidalan,kiasan,perumpamaan, analog, teladan untuk diagnosis serta klarifikasi tentang sesuatu makna
الأُترُجَةُ = buah yang seakan-akan menyerupai seperti buah limau yang harum baunya serta enak rasanya
الفاجر = golongan yang memperlihatkan perbuatannya kerpada orang ramai dan pada masa yang sama mereka bersembunyi dalam melakukan maksiat seperti golongan munafiq
الحنظلة  = buah dari tumbuh-tumbuhan yang tidak mempunyai bau dan mempunyai rasa yang sangat pahit

5.0       KETERANGAN DAN SYARAH HADIS
Utrujj ialah nama sejenis pokok limau yang banyak ranting berduri; mempunyai daun dan buah. Manakala buahnya seperti limau yang besar dan seperti Burtuqaal (limau manis) bentuknya hampir bujur seperti betik dan bermuncung. Warnanya warna emas indah. Limau ini mempunyai dua ciri keistimewaan iaitu keharuman baunya dan keenakan rasanya.
Dalam hadis ini, terdapat 4 bidalan dan perumpamaan yang boleh dijadikan  renungan kepada orang yang mencari hidayah dan petunjuk Allah s.w.t. bidalan-bidalan tersebut ialah :
  1. Orang mukmin yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan isi kandungannya.
  2. Orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an tetapi beriman dan beramal dengan isi kandungannya.
  3. Orang munafiq yang membaca al-Qur’an tetapi tidak beramal dengan isi kandungannya
  4. Orang munafiq yang tidak membaca al-Qur’an serta tidak beramal dengan isi kandungannya

5.1       Golongan pertama
Nabi Muhammad s.a.w. mengumpamakan golongan yang pertama iaitu orang mukmin yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan isi kandungannya sebagai al-utrijjah, iaitu sejenis buah limau yang mempunyai bau yang wangi dan sedap, di samping rasanya yang enak dan lazat. Keadaan ini menunjukkan bahawa golongan mukmin tersebut adalah terdiri daripada mereka yang telah sampai kepada tahap kesempurnaan dalam keimanan mereka yang luhur dan murni kepada Allah s.w.t sama ada dari sudut zahir mahupun batin.(lihat Min Kunuz al-sunnah, oleh Muhammad Ali al-sabuni, hlm.71)
Menurut al-Mubarakfuri dalam tuhfat al-Ahwazi, golongan Mukmin yang membaca al-Qur’an diumpamakan sebagai al-utrujjah kerana buah ini adalah buah yang terbaik, selain memiliki saiz yang besar, mempunyai rupa yang cantik serta mempunyai rasa yang enak. Kelazatannya boleh dirasai walaupun belum menjamahnya.( lihat tuhfat al-Ahwazi, 8/138-139)
Begitulah cantik dan indahnya mereka yang berdamping dengan al-Qur’an sehingga diibaratkan dengan buah yang enak dan lazat serta mempunyai bau yang amat menyelerakan yang menjadi idaman setiap manusia


Gambar buah utrujjah

5.2       Golongan kedua
Manakala golongan yang kedua pula iaitu orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an tetapi beriman dengan isi kandungannya, Nabi s.a.w. telah mengumpamakan mereka dengan buah kurma, yang mempunyai rasa yang enak tetapi tidak mempunyai bau. Seharusnya diketahui bahawa bau terhadap sesuatu makanan itu adalah pembuka selera kepada makanan tersebut. Seterusnya, hal ini menunjukkan bahawa golongan Mukmin ini adalah terdiri daripada mereka yang suci batinnya kerana penuh dengan keimanan, laksana rasa kurma yang sedap, namun pada zahirnya tidak sedemikian kerana mereka tidak membaca ayat-ayat Allah s.w.t., laksana kurma yang tidak mempunyai bau.(lihat al-sabuni, Min Kunuz al-Sunnah, hlm.71).



Buah kurma
5.3       Golongan ketiga
Berdasarkan hadis tersebut golongan ketiga iaitu golongan munafiq yang membaca al-Qur’an tetapi tidak beramal dengan isi kandungannya adalah seperti yang telah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu diumpamakan sebagai buah raihanah(sejenis pokok). Apabila seseorang itu memakan buah dari pokok raihanah akan merasakan buah tersebut tersangat pahit dan tidak sedap dimakan walaupun baunya harum. Samalah seperti golongan munafiq yang membaca al-Qur’an pada zahirnya menampakkan dirinya sebagai seorang yang takut dan taat kepada perintah Allah tetapi pada hakikatnya mereka hanya berpura-pura mentaati dan mengikuti perintah Allah kerana untuk memperlihatkan kepada orang sekeliling mereka bahawa mereka adalah tergolong dari golongan yang sentiasa beribadat dan mentaati perintah Allah s.w.t.



Buah dari pokok raihanah
5.4       Golongan keempat
Golongan keempat yang diumpamakan Nabi sebagai buah petola yang mempunyai bau yang busuk dan mempunyai rasa yang pahit adalah golongan munafiq yang tidak membaca al-Qur’an dan mereka tidak mengamalkan isi kandungannya, mereka merupakan golongan yang paling bawah sekali martabatnya dalam hadis tersebut lantaran cara hidup mereka yang tidak menzahirkan cara kehidupan Islam serta setiap perbuatan yang mereka lakukan adalah untuk diperhatikan dan menunjuk-menunjuk kepada orang yang berada di sekelilingnya apatah lagi bagi golongan munafiq seperti ini yang langsung tidak menzahirkan dirinya sebagai seorang yang berpegang dengan ajaran-ajaran di dalam al-Qur’an.

Buah petola

6.0       SEBAB-SEBAB PENGGUNAAN TAMTHIL DALAM HADIS 
Rasulullah s.a.w. menggunakan metode alegori dalam penyampaian sesuatu maklumat yang hendak disampaikan untuk memudahkan memahami dan menjelaskan sesuatu fakta agar pendengar akan rasa tertarik terhadap penyampaian tersebut di samping Nabi menggunakan amthal berkaitan unsur alam iaitu buah-buahan kerana ia menjadi makanan manusia dan manusia lebih tahu akan perbezaan rasa dan kelebihan buah-buahan tersebut, jadi penggunaan amthal ini lebih terkesan kepada hati para pendengar.Perumpamaan daripada hadis tersebut dapat membezakan individu-individu yang membaca al-Qur’an dan tidak membacanya yang terdiri daripada golongan orang yang beriman dan orang munafiq.
            Antara sebab lain Nabi Muhammad s.a.w. menggunakan ayat-ayat tamsil dalam penyampaian hadis kepada para sahabat adalah kerana kebanyakan bangsa dan kabilah Arab pada ketika itu gemarkan kepada syair-syair atau ayat-ayat yang mempunyai maksud yang mendalam dan mudah difahami serta penyampaian yang menarik. Oleh sebab itu, ramai golongan penyair yang terkenal pada zaman itu, ingin mendengar dan melihat Nabi Muhammad s.a.w. berpidato atau berkhutbah kerana isi kandungannya yang padat dan kemas di samping mempunyai uslub dan gaya bahasa yang menarik seperti mana ayat-ayat tamsil pada hadis yang diriwayatkan oleh abi musa al-ash’ari di atas.
            Selain itu, penggunaan tamthil di dalam hadis tersebut juga dapat mendorong dan menarik minat seseorang itu menjadi lebih bersungguh-sungguh untuk membaca al-Qur’an dan mengamalkan isi kandungannya, di samping mengelakkan seseorang itu tergolong daripada orang munafiq yang hanya membaca al-Qur’an tetapi tidak mengamalkannya atau yang tidak membaca al-Quran dan tidak mengamalkannya lantaran mereka diumpamakan seperti buah raihanah dan buah petola.

7.0       PENGAJARAN HADIS
Antara pengajaran yang terdapat pada hadis di atas ialah:
  1. Hadis tersebut terdapat galakan daripada nabi supaya orang Islam membaca al-Qur’an dan mengamalkan isi kandungannya.
  1. Daripada hadis tersebut juga dapat kita jadikan kayu ukur untuk menentukan kita tergolong dalam golongan yang mana seperti yang diumpamakan dalam hadis, supaya kita boleh membaiki diri kita sendiri agar menjadi seorang mukmin yang baik.
  1. Ia juga dapat dijadikan panduan kepada seluruh orang Islam supaya kita menjauhkan diri daripada mengamalkan gaya hidup orang munafiq dan tergolong dalam golongan tersebut.
  1. Nabi juga mengingatkan kita supaya ikhlas membaca al-Qur’an dengan cara mengamalkan maknanya dan Nabi juga mengingatkan kita supaya tidak hipokrit ketika membaca al-Qur’an sebagaimana golongan munafiq yang hanya membaca al-Qur’an tetapi tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka.
  1. Dalam hadis tersebut juga dinyatakan golongan yang beruntung iaitu golongan Mukmin kerana mereka diumpamakan sebagai buah utrujjah di mana ramai manusia yang menggemari bau dan rasa buah tersebut, begitulah juga perihalnya dengan orang mukmin yang membaca dan mengamalkan al-Qur’an di mana mereka pasti disayangi dan dikasihi masyarakat. Sebaliknya golongan munafiq yang disebut dalam hadis tersebut merupakan golongan yang rugi kerana mereka diumpamakan sebagai buah petola yang mempunyai bau dan rasa yang pahit, kerana begitulah hidup mereka dalam masyarakat kerana mereka tidak disukai dan tidak disenangi lantaran sikap mereka yang buruk.

8.0       KESIMPULAN 
Penggunaan bidalan dan perumpamaan dalam hadis di atas amat berkesan sekali kepada mereka yang mendengarnya kerana ia dapat memberi gambaran yang amat menarik tentang kedudukan orang-orang Mukmin. Perumpamaan dan kiasan dalam hadis ini telah dapat mempamerkan keimanan secara zahir dan batin yang sememangnya sukar dikenal pasti. Keimanan tersebut telah dijelaskan dengan baik sekali apabila ia telah diumpamakan dengan sesuatu perkara yang sudah jelas dalam kalangan masyarakat Arab iaitu sejenis buah-buahan yang terdiri daripada utrujjah(sejenis liamu) dan kurma.
Melalui metode alegori iaitu bidalan dan kiasan yang terdapat dalam hadis ini, menunjukkan bahawa betapa pentingnya membaca al-Qur’an kerana fadilat dan ganjarannya amat besar sekali. Oleh itu, semua umat Islam hendaklah beristiqamah dan sentiasa dalam membaca, menghayati serta beramal dengan isi kandungan al-Qur’an agar hati-hati mereka sentiasa disinari cahaya taufik dan hidayah daripada Allah s.w.t.    
 
9.0       RUJUKAN

Al-Asqalani. Ibnu Hajar. 2008. Fathul Baari: kelebihan membaca al-quran Jilid 24. Selangor. Pustaka Azzam.
Abu Husin muslim bin al-Hujjaj bin Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi. Sahih Muslim: bab fadhilah hafiz al-Qur’an . Jilid pertama, Juzu’ kedua. Al-Qaherah. Dar al-Hadis
Al Mubarakfuri. 1998. Tuhfat al Ahwazi : Bisharh Jami at-Tirmizi 8/138-139. Al-Qaherah
Abu Tamim Yasir bin Ibrahim. Syarah shahih al-bukhari li ibn battal: kitab fadha’il al-Qur’an. Juzu’ 10. Maktabah al-Rushd. Al-Riyad.
 Abi Isa Muhammad bin Isa. 1999. Sunan al-Tirmidhi. Juzu’ keempat. Dar al-Hadith. Al-Qaherah.
Muhammad 'Ali al-Sabuni . 2000. Min kunuz al-sunnah : dirasat adabiyah wa-lughawiyah min al-hadith li-sharif. Al-Qahirah : Dar al-Sabuni.