Sunday 13 May 2012

Hadith (7):Kelebihan Bertani


Kelebihan Bertani

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى وَقُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ وَمُحَمَّدُ بْنُ عُبَيْدٍ الْغُبَرِيُّ وَاللَّفْظُ لِيَحْيَى قَالَ يَحْيَى أَخْبَرَنَا و قَالَ الْآخَرَانِ حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ
(HR Muslim, Kitab Al-Muzaraah, Bab: Fadl Al-Zar’ wa al-Ghars Idha Ukila Minhu. No hadis 2195)
 
Maksudnya: Daripada Anas bin Malik r.a berkata, Rasulullah SAW berkata: “Tiada seorang Muslim pun yang bertani atau berladang lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia ataupun binatang melainkan bagi dirinya daripada tanaman itu adalah pahala sedekah”.

Keterangan Hadis.

    Ulama berselisih pendapat mengenai usaha yang paling baik, sama ada usaha daripada perniagaan, pertukangan ataupun pertanian. Menurut Imam An-Nawawi dalam Shahihnya, pekerjaan yang baik dan afdhal ialah pertanian. Inilah pendapat yang sahih kerana ia merupakan hasil tangannya sendiri dan ia juga memberi manfaat kepada diri sendiri, umat Islam dan kepada binatang. Di samping itu bidang pertanian juga membawa para petani kepada sifat tawakkal. (Al-Majmuk: 9/54 & Shahih Muslim Syarh Imam An-Nawawi).
    Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani dan Imam Al-Nawawi bahawa hadis-hadis yang dinyatakan di atas adalah penjelasan mengenai fadilat (kelebihan) bercucuk tanam dan ganjaran bagi orang yang melakukannya itu berterusan hingga hari Kiamat selagi tanaman itu masih kekal. Dalam hadis marfu‘ pula, daripada riwayat Abu Ayyub Al-Anshari, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Tiada seorang lelaki menanam sesuatu tanaman melainkan Allah Azza Wajalla menetapkan baginya ganjaran pahala sebanyak jumlah yang dihasilkan oleh tanaman tersebut”.
(Hadis riwayat Ahmad).
    Oleh itu mengusahakan hasil bumi dengan bertani dan menjayakan tanah terbiar merupakan satu cara mendapatkan punca pendapatan yang halal lagi sah di sisi Islam.
    Menurut sejarah Islam, setelah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tiba di Madinah, Baginda telah menggalakkan usaha pertanian agar ditingkatkan. Bumi Madinah ketika itu sememangnya subur perlu diusahakan dengan lebih giat. Dalam hubungan ini, kaum Muhajirin yang berhijrah bersama Baginda diaturkan supaya bekerjasama dengan kaum Ansar iaitu penduduk asal Madinah di dalam usaha-usaha pertanian. Hal seumpama ini sesuai dengan riwayat Rafi‘ bin Hadij bahawa di zaman Rasulullah telah diingatkan oleh beberapa orang bapa-bapa saudara Baginda iaitu Rasulullah melarang daripada perkara yang memberi manfaat kepada kami, lalu kami bertanya: Apakah perkara tersebut?:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang mempunyai tanah hendaklah dia mengerjakannya dengan bertani atau (jika dia tidak berupaya melakukannya) hendaklah menyerahkannya kepada saudaranya supaya diusahakan dan janganlah dia menyewakannya (sekalipun) hanya sepertiga, seperempat dan makanan asasi.”
(Hadis riwayat Abu Dawud).
    Hakikat betapa Islam sangat menggalakkan sektor pertanian jelas daripada peruntukkan yang ada di dalam syariah. Sebagai contoh, sesiapa sahaja yang mengusahakan tanah terbiar dengan jayanya akan mendapat hak milik kekal terhadap tanah berkenaan berdasarkan pendapat kebanyakan ulama. Peruntukkan ini jelas memberi intensif kepada pengusaha-pengusaha bidang pertanian yang mengusahakan tanah terbiar atau mati. Perkara ini disebutkan dalam riwayat Aisyah Radhiallahu ‘anha, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang memakmurkan (mengusahakan) tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa maka dia lebih berhak terhadapnya”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari).
    Walau bagaimanapun kita telah pun mempunyai peraturan atau undang-undang tanah, maka tidaklah boleh menggunakan tanah dengan sewenang-wenangnya melainkan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa.

Pengajaran hadis.
  1. Islam amat menggalakkan umatnya supaya menceburi dalam bidang pertanian di samping mendapat pelbagai manfaat kepada semua makhluk di atas muka bumi ini.
  2. Memperolehi pahala sedekah sekiranya binatang-binatang memakan hasil tanaman kita di samping bersabar atas dugaan yang menimpa.
  3. Sektor pertanian merupakan sektor yang paling menguntungkan berdasarkan kajian-kajian yang telah dianalisis.
  4. Menjadikan kita lebih memahami (tadabur) dan dekat terhadap ciptaan-ciptaan Allah melalui dengan menceburi sektor pertanian.

No comments:

Post a Comment